Saturday, November 22, 2008

MUQADDIMAH

Assalamualaikum wbt…

Dari sudut Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), pembelajaran Ibadah Haji ini terkandung di dalam silibus Pendidikan Islam Tingkatan 4 yang mana ianya telah dipecahkan kepada beberapa tajuk dengan tujuan mudah difahami oleh pelajar. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang penulis rasakan perlu dibuat penambahan supaya tajuk ini lebih mudah difahami dan insyaAllah dapat dimanfaatkan dalam situasi sebenar. Rujukan utama yang digunakan dalam pembinaan blog ini adalah Kitab Fiqh al-‘Ibadah ‘ala al-Mazhab as-Syafi’ie serta Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4. Disamping itu juga terdapat artikel-artikel yang diambil daripada laman-laman web yang terpilih.

Secara ringkasnya, Haji ialah mengunjungi Baitullah di Mekah dalam bulan-bulan Haji dengan mengerjakan Rukun-rukunnya seperti Wukuf, Tawaf, Saie dan lain-lain. Ia difardhukan Allah pada Tahun 9 Hijrah ke atas setiap orang Islam, lelaki dan wanita yang berakal, baligh dan berkemampuan. Haji adalah salah satu 5 Rukun Islam. Firman Allah swt bermaksud, “Dan sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah” (Al-Baqarah:196). “Dan untuk Allah, wajib ke atas manusia mengerjakan Haji di Baitullah (Kaabah) bagi sesiapa yang mampu sampai ke sana. Barangsiapa yang engkar, maka Allah Maha Kaya (tidak memerlukan) dari semesta alam” (Ali Imran:97). Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Haji yang Mabrur, tiada balasan baginya selain Syurga”.

Seseorang yang berhasrat untuk menunaikan ibadat Haji mestilah membuat persiapan-persiapan penting ke arahnya. Ini termasuk menabung wang sehingga mencukupi, menjaga kesihatan badan, membaca dan menghadiri kursus-kursus berkenaan ibadat Haji dan memilih pembimbing dan rombongan yang sebaiknya yang dapat memimpin bersama-samanya menjalani ibadah yang besar dan panjang ini ke arah mendapat Haji yang Mabrur.

DI SEBALIK IBADAH HAJI...

Semua manusia adalah sama di sisi Allah. Perbezaan insan pada pandangan Allah adalah diukur dari segi darjat keimanan dan ketaqwaaan kepadaNya bukan dinilai pada kelebihan pangkat atau kuantiti harta yang dimiliki oleh seseorang. Namun neraca penilaian manusia jauh berbeza. Malangnya status harta, pangkat, wanita, anak pinak dan kedudukan yang merupakan pinjaman hidup yang sementara ini telah ditukar statusnya oleh manusia menjadi pertaruhan untuk mewujudkan perbezaan sesama manusia. Pinjaman dari Allah semasa hidup di dunia pastinya adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari kebangkitan. Setiap amanah menuntut pertanggungjawaban dari pemegang amanah bukannya kebanggaan yang akan dipamerkan kepada orang lain. Apabila semua pinjaman yang kita miliki itu hilang ditarik balik oleh Allah maka ketika itu akan muncul kembali persamaan di antara semua manusia tanpa ada perbezaan kecuali bekalan amalan yang dibawa menghadapNya.

Ibadah haji mengukuhkan lagi erti persamaan manusia pada pandangan Allah. Jemaah haji lelaki dimestikan memakai 2 helai kain ihram yang berwarna putih. Sehelai untuk menutup aurat dan sehelai lagi adalah untuk Ittiba’ (istilah yang digunakan untuk menutup bahagian tangan kiri sehingga di bawah ketiak dan sengaja menampakkan bahagian tangan kanan sehingga ketiak). Manakala bagi wanita pula diwajibkan menutup aurat dan disunatkan berwarna putih serta diharamkan menutup muka dan kedua tapak tangan.Inilah pakaian rasmi jemaah haji yang mengajar erti persamaan sesama muslim tidak kira samada lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin, berjawatan besar atau pekerja biasa dan pemimpin atau pun rakyat biasa. Hakikat persamaan manusia ini tidak ubah seperti gigi sikat yang kedudukannya adalah sama rata tiada yang lebih tinggi dan tiada pula yang rendah di antara satu dengan yang lain. Bezanya cuma taqwa kepada Allah yang menjadi penentu kedudukan di sisi Allah di akhirat nanti.

PETA MINDA IBADAH HAJI

PENGERTIAN DAN HUKUM


Definisi

Secara lughawi (bahasa), haji bererti sengaja atau menuju dan mengunjungi. Menurut etimologi bahasa Arab , kata haji mempunyai arti qashd, iaitu tujuan, maksud, dan sengaja. Menurut istilah syara’, haji ialah menuju ke Baitullah dan tempat-tempat tertentu untuk melaksanakan amalan-amalan ibadah tertentu pula. Yang dimaksudkan dengan tempat-tempat tertentu dalam definisi di atas, selain Ka’bah dan Mas’a(tempat sa’i), juga Arafah, Muzdalifah, dan Mina. Yang dimaksud dengan waktu tertentu ialah bulan-bulan haji yang dimulai dari Syawal sampai sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah. Adapun amal ibadah tertentu ialah thawaf, sa’i, wukuf, mabit di Muzdalifah, melontar jumrah, mabit di Mina, dan lain-lain.



Hukum


Menunaikan haji adalah merupakan fardhu 'ain dan merupakan salah satu rukun daripada Rukun Islam yang lima.

DALIL AL-QURAN

DALIL AL-HADITH

TARIKH PENSYARIATAN HAJI

Pendapat yang paling kuat menyatakan bahawa tarikh pensyari'atan haji dan 'umrah adalah pada tahun ke 9 Hijrah. Ini bersandarkan pengertian hadith berikut;

Sabda Rasulullah saw kepada rombongan 'Abd al-Qais yang menemui baginda pada awal tahun ke 9 Hijrah, dan bertanya tentang perintah yang wajib mereka lakukan. " Aku perintahkan kamu beriman kepada Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menyerahkan 1/5 daripada harta rampasan perang."


Justeru itu, sekiranya haji telah difardhukan sebelum tarikh tersebut tentulah baginda menyebutkannya bersama-sama perintah yang diarahkan kepada mereka.