Saturday, November 22, 2008

DI SEBALIK IBADAH HAJI...

Semua manusia adalah sama di sisi Allah. Perbezaan insan pada pandangan Allah adalah diukur dari segi darjat keimanan dan ketaqwaaan kepadaNya bukan dinilai pada kelebihan pangkat atau kuantiti harta yang dimiliki oleh seseorang. Namun neraca penilaian manusia jauh berbeza. Malangnya status harta, pangkat, wanita, anak pinak dan kedudukan yang merupakan pinjaman hidup yang sementara ini telah ditukar statusnya oleh manusia menjadi pertaruhan untuk mewujudkan perbezaan sesama manusia. Pinjaman dari Allah semasa hidup di dunia pastinya adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari kebangkitan. Setiap amanah menuntut pertanggungjawaban dari pemegang amanah bukannya kebanggaan yang akan dipamerkan kepada orang lain. Apabila semua pinjaman yang kita miliki itu hilang ditarik balik oleh Allah maka ketika itu akan muncul kembali persamaan di antara semua manusia tanpa ada perbezaan kecuali bekalan amalan yang dibawa menghadapNya.

Ibadah haji mengukuhkan lagi erti persamaan manusia pada pandangan Allah. Jemaah haji lelaki dimestikan memakai 2 helai kain ihram yang berwarna putih. Sehelai untuk menutup aurat dan sehelai lagi adalah untuk Ittiba’ (istilah yang digunakan untuk menutup bahagian tangan kiri sehingga di bawah ketiak dan sengaja menampakkan bahagian tangan kanan sehingga ketiak). Manakala bagi wanita pula diwajibkan menutup aurat dan disunatkan berwarna putih serta diharamkan menutup muka dan kedua tapak tangan.Inilah pakaian rasmi jemaah haji yang mengajar erti persamaan sesama muslim tidak kira samada lelaki mahupun perempuan, kaya atau miskin, berjawatan besar atau pekerja biasa dan pemimpin atau pun rakyat biasa. Hakikat persamaan manusia ini tidak ubah seperti gigi sikat yang kedudukannya adalah sama rata tiada yang lebih tinggi dan tiada pula yang rendah di antara satu dengan yang lain. Bezanya cuma taqwa kepada Allah yang menjadi penentu kedudukan di sisi Allah di akhirat nanti.

0 comments: