Saturday, November 22, 2008

MUQADDIMAH

Assalamualaikum wbt…

Dari sudut Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), pembelajaran Ibadah Haji ini terkandung di dalam silibus Pendidikan Islam Tingkatan 4 yang mana ianya telah dipecahkan kepada beberapa tajuk dengan tujuan mudah difahami oleh pelajar. Namun begitu terdapat beberapa kekurangan yang penulis rasakan perlu dibuat penambahan supaya tajuk ini lebih mudah difahami dan insyaAllah dapat dimanfaatkan dalam situasi sebenar. Rujukan utama yang digunakan dalam pembinaan blog ini adalah Kitab Fiqh al-‘Ibadah ‘ala al-Mazhab as-Syafi’ie serta Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4. Disamping itu juga terdapat artikel-artikel yang diambil daripada laman-laman web yang terpilih.

Secara ringkasnya, Haji ialah mengunjungi Baitullah di Mekah dalam bulan-bulan Haji dengan mengerjakan Rukun-rukunnya seperti Wukuf, Tawaf, Saie dan lain-lain. Ia difardhukan Allah pada Tahun 9 Hijrah ke atas setiap orang Islam, lelaki dan wanita yang berakal, baligh dan berkemampuan. Haji adalah salah satu 5 Rukun Islam. Firman Allah swt bermaksud, “Dan sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah” (Al-Baqarah:196). “Dan untuk Allah, wajib ke atas manusia mengerjakan Haji di Baitullah (Kaabah) bagi sesiapa yang mampu sampai ke sana. Barangsiapa yang engkar, maka Allah Maha Kaya (tidak memerlukan) dari semesta alam” (Ali Imran:97). Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Haji yang Mabrur, tiada balasan baginya selain Syurga”.

Seseorang yang berhasrat untuk menunaikan ibadat Haji mestilah membuat persiapan-persiapan penting ke arahnya. Ini termasuk menabung wang sehingga mencukupi, menjaga kesihatan badan, membaca dan menghadiri kursus-kursus berkenaan ibadat Haji dan memilih pembimbing dan rombongan yang sebaiknya yang dapat memimpin bersama-samanya menjalani ibadah yang besar dan panjang ini ke arah mendapat Haji yang Mabrur.

0 comments: